Thursday, October 31, 2013

Usah juah dengan Tuhan

Bismillah.

Teringat pesan orang-orang tua, juga pesan bapa, usah juah dengan Tuhan. Shukur Allah beri kita latar belakang sederhana kerana dengannya kita lebih kenal erti kehidupan. Kita celik mata, tidak kenal kesenangan apatah lagi kemewahan. Kita membesar dalam kesederhanaan, sekali-sekala dihimpit kepayahan. Dalam keadaan beginilah kita jadi lebih kenal akan Tuhan.

Kita tidak berdiri dengan kepandaian dan kebolehan sendiri. Kita meminta dan merayu kurnia daripada yang Maha Empunya kerana kita sedar sedari awal yang kita tidak punya apa-apa kelebihan. Bahasa kita merendah kerana kita tidak punya simpanan berjuta mahupun harta. Shukur kita tidak menongkat pada dahan bayangan. Malahan, kita tidak malu bertongkat paruh bila sayap patah di tengah jalan.

Kita terbiasa dengan onak kehidupan. Justeru tidak mudah lupa daratan. Jauh sekali mendabik dada, berkata angkuh, "Ini aku punya!" "Aku bukan keturunan biasa-biasa."

Semuanya hanyalah pinjaman bahkan ujian daripada Yang Maha Esa.

Bershukurlah jika kita termasuk kalangan yang lembut hatinya, yang mudah insaf kala ditimpa musibah. Dan bukannya menghitung-hitung rancangan tiada berpenghujung seolah hidup bertongkat langit. Semoga kita insaf dalam mengimbau khilaf. Apakah ada khianat dalam perilaku kita? Apakah ada niat terpesong di hati kita? Apakah perbuatan berselindung sebalik agenda? Apakah lidah petah menabur dusta? Apakah ada hati seseorang yang kita permainkan? Apakah ada harapan seseorang yang kita hancurkan? Apakah kita pernah membuat orang rasa terhina? 

Jangan mudah hendak diremuk hati manusia kerana di situ ada Dia. 

Kita tidak tahu apa munajat orang teraniaya dalam keheningan malam. Kita tidak tahu sebanyak mana curahan airmatanya. Sedangkan kita tidak kekok bersuka, walhal orang berduka.

Semoga Allah masukkan kita dalam golongan yang sedar diri, bukan diri yang besar, tapi diri yang kerdil dan akur menerima takdir Ilahi.

Allahu Akbar!


Pic credit: Hisham Salmin
     

No comments:

Post a Comment